ilahadar ilahadar ilahadar ilahadar ilahadar ilahadar ilahadar i

Followers

Tuesday, February 15, 2011

Buruk Baik Kahwin Muda ?


LISA DAN AZRI ASYIK MEMADU CINTA. MEREKA SUDAH SALING MENGENALI DARI BANGKU SEKOLAH LAGI DAN APABILA MASING-MASING DAPAT MEMASUKI KOLEJ, MEREKA BERIKRAR MAHU BERKAHWIN BILA TAMAT BELAJAR. PERASAAN CINTA YANG KUAT ANTARA KEDUA-DUANYA MEMBUATKAN MEREKA MAHU BERKAHWIN SEGERA.
Masalahnya, usia mereka baru 19 tahun. Kedua ibu bapa kurang bersetuju tambahan pula usia masing-masing terlalu muda dan mereka masih lagi belajar dan perbelanjaan masih ditanggung oleh keluarga. Namun keduanya mendesak mahu berkahwin dan dalam masa yang sama, membuatkan kedua belah keluarga berbelah bahagi. Mengiyakan atau terus menghalang? Mungkin tip di bawah dapat membantu mengatasi masalah dihadapi.
1. Kematangan

Usia sering dikaitkan dengan kematangan hidup. Sama seperti pepatah “siapa dulu makan garam” yang mana ia dirujuk kepada orang tua yang mempunyai banyak pengalaman hidup. Ia samalah seperti mengharungi sebuah perkahwinan yang mana ia bukan sekadar satu percubaan dalam hidup. Ia juga bukan seperti anda gagal dalam SPM dan boleh mengulangi mengambil peperiksaan itu semula. Ia juga bukan seperti anda membuka perniagaan dan akhirnya anda terpaksa menutupnya kerana rugi. Perkahwinan bukan seperti itu. Apabila anda melangkah di dalamnya, anda harus menempuhi segala-galanya, pahit manis, suka duka dan apa-apa saja rintangan yang ada. Orang muda sering kali dikaitkan suka mengikut darah muda, suka melakukan tindakan terburu-buru termasuklah mungkin sesuka hati melafazkan cerai kalau hati tengah marah. Justeru itu ramai ibu bapa khususnya yang sudah melalui onak duri perkahwinan melihat kematangan perlu ada dalam diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

2. Kekok dan kaku

Usia 19 tahun adalah satu usia yang sangat muda. Ia berlainan sama sekali jika anda sudah memasuki usia 25 tahun dan ke atas. Apa yang boleh dilakukan oleh seorang anak muda pada usia 19 tahun berbanding pada usia 25 tahun? Sudah tentu ia berbeza terutama dari segi pemikiran, gaya hidup, kematangan dan sebagainya. Pada usia muda, seorang lelaki masih lagi kaku dan kekok untuk melaksanakan sebuah tanggungjawab apa tah lagi jika mereka memiliki anak kecil. Anda tentunya langsung tidak bersedia untuk bangun tengah malam untuk membuat susu anak atau menukar lampin bayi tatkala rakan seusia lena diulit mimpi indah.

3. Kehidupan seharian

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa, lelaki dan wanita. Apabila anda selangkah memasuki frasa perkahwinan ini, anda perlu memahami yang mana keperluan dan yang mana kehendak. Keperluan adalah satu keperluan kehidupan di mana anda harus mengutamakannya dahulu berbanding kehendak diri anda. Ia samalah seperti anda harus membeli dahulu susu bayi berbanding anda mendahulukan kasut atau baju yang anda sukai. Justeru itu, kehidupan seharian anda sudah pasti jauh berubah. Anda perlu pulang awal ke rumah untuk makan bersama isteri di rumah, tidak boleh lagi melepak bersama kawan-kawan di luar dan sebagainya. Kalau anda bersedia untuk mengubah segala-galanya, anda mungkin boleh memikirkan baik dan buruknya kalau berkahwin pada usia muda.

4. Berasa cepat bosan

Suatu yang pasti, naluri muda pada diri anda tidak akan pernah habis. Bayangkan tatkala rakan seusia keluar dari universiti, mereka meraikannya bersama keluarga. Keluar mencari pekerjaan di syarikat yang bagus, tinggal di rumah bujang dan merasai nikmat mencuci baju sendiri. Tapi kalau anda berkahwin, semua itu akan dilakukan oleh pasangan yang mana satu ketika, dia juga berasa bosan perlu melakukan semua itu seorang diri dan lebih malang, anda tidak ringan tangan untuk membantu. Akhirnya, ia boleh menjadi punca pergaduhan di mana anda akan berasa sangat bosan mendengar isteri membebel dan bertindak keluar rumah. Akhirnya, perkahwinan mungkin tidak dapat diselamatkan.

5. Soal wang ringgit

Justeru sudah memasuki frasa perkahwinan, anda perlu mempunyai kewangan yang kukuh. Sampai bila anda harus meminta pada kedua orang tua tambahan pula kalau anda masih belajar. Sekurang-kurangnya anda perlu berdikari untuk memiliki wang sendiri, namun menjadi masalah kalau anda masih belajar dan tiada pekerjaan sesuai. Dewasa ini, orang yang memiliki ijazah sangat ramai dan mereka akan mengambil apa saja peluang yang ada di depan mata asalkan pekerjaan itu halal. Tapi bagaimana pula dengan anda yang masih belajar? Mungkin tidak ada majikan yang sanggup mengambil anda yang masih muda dan tiada ijazah. Banyak kes-kes perceraian yang dilaporkan di mahkamah akibat kewangan. Biasanya golongan muda masih memikirkan keseronokan dan juga tidak sempat menyimpan duit sendiri kerana belum bekerja. Justeru itu, inilah nilai yang harus anda bayar, sama ada berkahwin muda mahu pun belajar dahulu.

6. Perubahan positif

Tidak dinafikan, perkahwinan adalah satu ikatan suci. Apabila anda memilih untuk berkahwin, anda sudah mengikut sunnah Rasulullah SAW. Anda juga memilih untuk tidak terjerumus ke lembah maksiat yang boleh menghumban ke dalam neraka jika tidak bertaubat. Berkahwin muda atau matang, bukan satu ukuran jika anda sudah benar-benar bersedia menghadapinya. Bagi yang mahu merealisasikan impian ini, anda boleh menempuhnya. Buruk atau baik terpulang kepada anda tentang institusi perkahwinan ini.


Coretan Asal : http://www.mingguanwanita.com.my/lelaki/dunia/



2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...